PETALING JAYA: Ketika gejala politik dalam pemilihan Umno hangat diperkatakan, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendakwa berdasarkan perkembangan semasa setiap perwakilan mampu memperoleh sehingg RM20,000.
Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: "Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000."
"Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok.
"Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa," kata beliau yang mengulas isu yang sama buat kali kedua dalam seminggu menerusi blognya.
JAWATAN DITENDER
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Lembaga Disiplin Umno akan mengumumkan beberapa tindakan yang akan diambil berhubung politik wang, dalam masa terdekat ini.
Beliau yang kini merupakan calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno berkata, parti itu telah menyerahkan mandat kepada jawatankuasa yang dipengerusikan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail itu untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati mengamalkan politik wang.
Baru-baru ini, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengesyorkan supaya semua jawatan tertinggi parti Umno dipertandingkan secara "tender" kerana muak dengan gejala politik wang yang didakwa berlaku semasa pemilihan bahagian.
No comments:
Post a Comment